SERIUS : Awak gemuk tapi comel’ kata pemandu teksi sebelum cabul seorang wanita | Tengokberitatv3

SERIUS : Awak gemuk tapi comel’ kata pemandu teksi sebelum cabul seorang wanita

KUANTAN – “Awak ni gemuk tapi comel.” Itulah antara ungkapan diucapkan seorang pemandu teksi sebelum bertindak mencabul seorang penumpang wanita yang menaiki teksinya ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat membeli-belah di bandar ini, kelmarin.
Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Wanda berkata, kebiasaannya dia akan duduk di bahagian belakang setiap kali menaiki kenderaan awam itu, namun disebabkan cuaca panas terik pada hari kejadian, dia memilih untuk duduk bersebelahan pemandu kerana lebih dekat dengan penghawa dingin.
Tambahan pula katanya, dia sendiri tidak sangka pemandu teksi itu akan bertindak sedemikian kerana nampak seperti seorang berpendidikan agama.


“Pada awalnya, kami hanya berbual kosong. Namun selepas itu, topik perbualan menjadi agak pelik kerana dia tiba-tiba mengatakan saya seorang wanita gemuk dan perlu jaga pemakanan.
“Perbuatan pemandu teksi itu mengundang rasa tak selesa untuk berbual lebih lanjut. Malah melalui ekor mata, saya perhatikan dia kerap menjeling pada saya,” katanya.
Wanda berkata, dia hairan apabila pemandu itu berbicara mengenai topik berkenaan kerana pemandu itu tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan mereka tidak kenal antara satu sama lain.
Katanya, lebih memeranjatkan lagi apabila pemandu itu bertindak memegang tangan dan mencubit pipinya sambil mengatakan ‘awak ni gemuk tapi comel’ sebelum dia keluar daripada teksi tersebut.
“Selepas diperlakukan sedemikian, saya menjerit dan terus keluar daripada teksi itu lalu menelefon suami.
“Dia nampak alim, tapi saya tak sangka dia berani pegang tangan dan cubit pipi saya sambil mengeluarkan kenyataan sedemikian,” katanya.
Menurutnya, atas desakan suami, dia membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuantan.
“Saya nasihatkan golongan wanita agar lebih berhati-hati dan sebolehbolehnya elak menaiki teksi seorang diri. Kita juga jangan mudah percaya dengan penampilan seseorang.
“Bersongkok dan nampak baik belum tentu dia seorang yang baik dan menghormati wanita. Ambil pengajaran dengan apa yang terjadi pada diri saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kes tersebut.

0 Response to "SERIUS : Awak gemuk tapi comel’ kata pemandu teksi sebelum cabul seorang wanita"

Contact Form www.evotemplates.net

Name

Email *

Message *