KEJAM ~ Susulan kanak-kanak trauma disumbat cili dalam kemaluan | Tengokberitatv3

KEJAM ~ Susulan kanak-kanak trauma disumbat cili dalam kemaluan

KUALA LUMPUR 7 Jan. – Bagaikan dalam babak cerita rakyat bertajuk bawang merah dan bawang putih.
Begitulah nasib malang yang terjadi ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun apabila menjadi mangsa dera ibu tirinya sementara dua anak kandung wanita itu pula mendapat layanan yang lebih baik.
Terbaharu, wanita berusia 31 tahun itu tergamak menyumbat cili ke dalam kemaluan kanak-kanak terbabit sambil disaksikan dua anaknya itu dan nenek mangsa yang tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu uzur.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, perbuatan kejam itu berlaku di rumah keluarga tersebut di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Semenyih dekat sini, di sini Sabtu lalu.

Katanya, berikutan itu, ibu saudara mangsa yang mengetahui kejadian tersebut membuat laporan dan wanita berkenaan ditahan pukul 4 petang hari yang sama.
“Siasatan polis mendapati, kira-kira pukul 10 pagi pada hari kejadian, mangsa telah didera oleh ibu tirinya dengan cara menyumbat kemaluannya dengan cili merah sambil dilihat oleh dua adik tiri mangsa.
“Nenek mangsa juga berada di dalam rumah ketika itu namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana terlalu tua, bagaimanapun seorang ibu saudara mangsa yang berada di rumah bersebelahan menyedari perkara itu dan terus menghubungi polis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan kesihatan mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di kemaluannya selain beberapa kesan luka lama di bahagian badan dipercayai akibat ditekan dengan sudu panas.
Jelas beliau, motif penderaan tersebut hanyalah semata-mata kerana mangsa merupakan anak tiri dan kanak-kanak malang itu masih ditempatkan di Hospital Kajang untuk menerima rawatan selain menjalani proses pemulihan akibat trauma melampau.
Ab. Rashid berkata, polis masih menjalankan siasatan termasuk mengambil keterangan daripada bapa mangsa yang tidak berada di rumah ketika kejadian selain mendapatkan maklumat mengenai status ibu kandung mangsa.
“Ini adalah penderaan yang teruk dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Suspek telah direman sejak 4 Januari lalu yang berakhir hari ini namun polis telah mendapatkan perintah untuk melanjutkan tempoh itu selama beberapa hari lagi bagi membantu siasatan,” kata beliau.
- Utusan Melayu

0 Response to "KEJAM ~ Susulan kanak-kanak trauma disumbat cili dalam kemaluan"

Contact Form www.evotemplates.net

Name

Email *

Message *