Kurang makan nasi, Hanez Suraya kekal langsing | Tengokberitatv3

Kurang makan nasi, Hanez Suraya kekal langsing



Hanez Suraya
WANITA cantik bertubuh langsing ini mula mencuri perhatian apabila muncul menerusi filem Bicara Hati sekitar tahun 2004.

Selepas itu, rezekinya dalam bidang seni semakin melimpah ruah sehingga wajahnya sering kali menghiasi kaca televisyen tempatan.

Lakonan hebatnya boleh dilihat menerusi drama 3 Janji, Sedetik Cinta, Dalam Hati Ada Taman dan Exora.

Bagaimanapun, di awal penglibatannya dahulu, pemilik nama Hanez Suraya Abdul Aziz ini tidaklah selangsing seperti sekarang, sebaliknya lebih berisi.

Agaknya apa yang pelakon berusia 28 tahun ini lakukan untuk kekal sihat dan mendapatkan bentuk badan sebegini?

Jom kita selami tip kesihatan dan kecantikan anak sulung daripada tiga adik-beradik ini.

Semua wanita ingin kelihatan cantik, namun bagi anda, apakah yang dimaksudkan dengan cantik?

Cantik luaran adalah bonus tetapi jika kita bijak membawa diri dan baik hati dengan semua orang, kita akan nampak cantik kerana sifat mulia dan budi bahasa yang ada dalam diri kita.

Sebelum ini anda kelihatan lebih berisi, bagaimana rutin kesihatan yang anda lakukan sehingga mendapat bentuk badan begini?
Sebenarnya saya sangat menitikberatkan kesihatan, mungkin dulu saya tidak perasan dengan bentuk badan yang agak berisi tetapi sekarang saya bangga dengan apa yang dimiliki. Untuk merealisasikan semua itu, saya perlu berkorban dan mengamalkan diet. Apa yang penting, saya mengurangkan pengambilan nasi serta makanan berminyak.

Adakah anda mengambil sebarang suplemen kesihatan?

Sebagai selebriti, saya juga terdedah dengan cuaca yang tidak menentu, adakala saya kerja lebih masa dan sangat penat. Jadi, saya mengambil suplemen multivitamin supaya lebih sihat dan nampak segar sentiasa.

Bagaimana pula dengan aktiviti kecergasan, adakah anda seorang yang konsisten melakukan senaman?

Ketika di sekolah, saya aktif bermain bola jaring dan pelari jarak jauh, tetapi sekarang saya hanya akan bermain badminton jika ada masa terluang. Dalam pada itu, saya sebenarnya lebih gemar bermain snuker.

Anda juga memiliki kulit yang cantik, apa yang anda lakukan untuk memastikan kulit sentiasa berseri?

Saya amat suka ke spa dan melakukan lulur, selain itu bagi wajah pula, saya akan menggunakan produk yang sama yang hanya sesuai dengan kulit saya sahaja. Saya tidak akan sesekali menukar produk penjagaan wajah sesuka hati.

Anda sentiasa tampil cantik apabila hadir di sesebuah majlis, adakah anda seorang yang amat mementingkan solekan?

Sudah tentu, setiap kali keluar ke mana-mana, maskara, pensel kening dan pelentik bulu mata sentiasa ada dengan saya. Tetapi saya tidaklah bersolek terlalu tebal, sekadar menaikkan seri wajah sahaja. Namun, saya akan pastikan agar tidak lupa membawa penyembur wajah apabila keluar, ini kerana jika penat, ia berfungsi untuk melegakan wajah kita.

Boleh kongsi dengan peminat, agaknya, bahagian tubuh mana yang paling anda suka?

Saya paling suka mata dan rambut saya, bagi saya ia anugerah yang cukup hebat yang ada pada diri saya.

Selain sibuk dengan penggambaran, apa yang anda akan lakukan jika mempunyai masa lapang.

Saya paling suka 'shopping', bagi saya ia dapat menghilangkan tekanan kerja, apa pun, kalau terlalu penat, saya hanya akan menghabiskan masa berehat di rumah dan berada di dalam bilik.

Trivia
-Suka warna terang seperti oren
-Gemar mendengar muzik balada dan R&B
-Selesa berdampingan dengan lelaki romantik
-Bila Aku Jatuh Cinta adalah lagu kegemaran yang dinyanyikan kekasih hatinya, Awi Rafael
-Hanez amat menyukai pekerjaannya kini

Profil
NAMA PENUH: Hanez Suraya Abdul Aziz
USIA: 28 tahun
TARIKH LAHIR: 22 Ogos 1985
BILANGAN ADIK BERADIK: Sulung daripada tiga beradik
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Pelakon sepenuh masa

0 Response to " Kurang makan nasi, Hanez Suraya kekal langsing"

Contact Form www.evotemplates.net

Name

Email *

Message *